KARPAL SINGH : Pahlawan Melayu Berbangsa Sikh

Setelah sekian lama tidak menulis, rindu pula rasanya mahu menulis. Terlalu banyak isu sebelum ini yang mahu aku kupas, malangnya aku tidak cukup  masa untuk semua ini. Terima kasih di atas sokongan pembaca yang meniupkan semangat untuk aku terus berkata-kata melalui kalam tulisan.

Isu Karpal Singh yang mahu menyaman Ke Bawah Duli Sultan Perak memang panas. Bukan sebarang orang yang Karpal mahu saman iaitu seorang mantan hakim besar di Malaysia yang kini merupakan Sultan Perak. Maka, Karpal adalah seorang yang berani melakukan anjakan paradigma di dalam bidang perundangan Malaysia. Bukan itu sahaja, Karpal juga berani mengambil risiko menaikkan kemarahan orang Melayu dan rakyat Malaysia. Samada Karpal sengaja atau tidak, beliau telah berjaya menaikkan semangat orang Melayu dan rakyat Malaysia untuk mencintai Raja mereka. Raja atau Sultan yang menjadi payung kepada sistem pemerintahan Malaysia. Bukan sahaja orang Melayu yang membuat laporan Polis terhadap Karpal, tetapi diikuti oleh semua bangsa rakyat Malaysia. Inilah keunikan Malaysia yang dikagumi oleh masyarakat antarabangsa.

Inilah kehebatan Karpal. Seorang peguam yang hebat juga ahli politik yang tidak mudah terperangkap di dalam emosi sendiri. Aku sebagai orang Melayu dan rakyat Malaysia, mengucapkan terima kasih kepada Karpal kerana telah berjaya membangkitkan semangat bangsa Melayu dan semangat Malaysia. Sebagai penyokong UMNO, aku juga mengucapkan terima kasih kepada Karpal kerana membantu UMNO menutup beberapa isu dalaman UMNO seperti politik wang, rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa menjelang pemilihan UMNO Mac depan.  Juga babak ini berjaya membuatkan rakyat lupa bahawa harga minyak dunia kini sudah turun kepada USD36 seBarrel. Ini secara tidak langsung, memberi bonus kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Selain dari itu, Karpal juga telah berjaya menggegarkan Pakatan Rakyat (PR) terutamanya  PKR yang menjadi tiang seri PR. Orang Melayu PKR pun seperti juga orang UMNO. Orang Melayu tipikal yang susah mahu dibentuk pada suhu dan tekanan atmosfera normal. Orang Melayu hanya boleh dibentuk dengan mudah apabila suhu ditingkatkan dan tekanan dinaikkan. Karpal mungkin secara tidak sengaja telah tertekan butang yang berjaya menaikkan suhu dan tekanan tersebut. Maka orang Melayu yang lalai dan leka berpolitik mendapat isyarat tersebut. Inilah jadinya…..

Terima kasih Karpal Singh.

ANWAR IBRAHIM bakal Presiden USA!!!

Begitulah kehebatan YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah berjaya dengan penuh kecemerlangan, kegemilangan lagi keterbilangan, mempermainkan pemimpin dan pengikut PAS, DAP, PKR, rakyat Malaysia dan warga dunia, dengan imaginasinya yang hebat. Alasan gagal mengambilalih Kerajaan Malaysia akan ditolak kepada Pak Lah. Pak Lah akan dituduh sebagai tidak mahu melepaskan jawatan PM dan menggunakan MAGERAN. Anwar akan terselamat bahkan tidak akan berhenti setakat itu. Sebuah imaginasi baru akan muncul… Anwar bakal melangkah ke White House sebagai Presiden US yang ke 45 selepas Barack Obama. Tarikh baru yang disasarkan ialah 11 September 2009. Ini bersempena dengan tarikh kejatuhan WTC. Anwar bakal menerima sokongan dari pelobi-pelobi Republikan yang gagal menobatkan Mc Cain sebagai Presiden. Ini bakal dilakukan dengan melobi Demokrat agar mengadakan undi tidak percaya terhadap Obama yang merupakan Presiden ke 44 dan yang pertama mencatat sejarah sebagai Presiden dari golongan African American.

Anwar juga dikatakan antara orang yang sangat kecewa apabila bank pelaburan US Lehman Brothers runtuh. Isu ini adalah senjata pemusnah kepada kegagalan dasar ekonomi Republikan yang lemah. Kejatuhan Lehman Brothers yang diasaskan pada 1850, bakal diikuti oleh beberapa bank lain di US dan negara lain jika tiada campurtangan pihak kerajaan. Kejatuhan Lehman Brothers bererti kejatuhan Republikan, kejatuhan Republikan bererti kejatuhan Anwar dan sekutunya di Malaysia. Termasuk sebuah parti yang bertopengkan Islam. Namun harapan baru ANWAR BAKAL PRESIDEN USA, akan dapat mengalas kekecewaan syaitan dan nafsu yang bertopengkan ISLAM. Apa yang nak dikecohkan, syaitan dan nafsu pun Haq Allah Ta’ala juga. Betul tak Tok Guru???

Bangun Bang….. Sahur!!! Suara lunak isteriku mengejutkan aku tidur di pagi 16 September 2008… Aduh! mimpi rupanya!!! Aku tersenyum sendiri mengingatkan mimpiku tadi. Siapakah yang bermimpi? Aku? Anwar? Pak Lah? Nik Aziz? PR? BN? atau Rakyat Malaysia? Sememangnya hidup ini adalah mimpi. Semua bakal terjaga di Yaumul Qiamah (Hari kebangkitan). Kita sama-sama tungguuuuuuu……

NazzCaveMan