Pak Lah Ancaman Kepada Kera-Kera UMNO

Beginilah halusnya tindakan seorang pejuang. Mr. Clean seperti Pak Lah, sememangnya sentiasa berdepan dengan masalah-masalah orang yang mengotorkan UMNO. Semua sedia maklum, UMNO itu bermakna United Malay National Organisation atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Tetapi tidak semua orang tahu, UMNO itu berdiri atas huruf Jawi iaitu Alif, Mim, Nun dan Wau. Bunyinya AMANU. Inilah yang tersirat pada UMNO. Amanu adalah perkataan Arab yang bererti BERIMAN. Di dalam Al-Quran, ayat-ayat Madaniah, Allah menyeru dengan seruan “Yaaiyuhallazina AMANU”. Malangnya, Iman tiada guna tanpa syariat ISLAM. Apa lagi iman yang dikotori oleh dosa, sangat susah untuk menerima petunjuk. Ditambah pula jika syariat yang ada, hanyalah sekadar topeng untuk dijadikan modal politik, bagi mendapatkan keuntungan duniawi.

Apa yang berlaku sepanjang pra-pentadbiran Pak Lah, banyak kotoran dan dosa meliputi UMNO. Segalanya disimpan di bawah tikar, celah almari dan di sekeliling UMNO yang dianggap tersorok. Trend ini adalah baik bagi mewujudkan sistem pentadbiran autokratik yang menyaksikan pemimpin tertingginya sangat berkuasa. Pemimpin bawahan tidak boleh berbuat apa-apa selain mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju. Bukannya apa, bimbang kalau-kalau dosanya terdedah. Inilah ciri-ciri kera di dalam UMNO yang terjerit-jerit mahukan projek, kemewahan dan kekayaan. Bila tersepit, lagi kuat jeritannya mahukan boss turun. Tapi bossnya pula, seorang manusia yang bijaksana menghadapi kerenah kera-kera disekelilingnya.

Bercakap soal dosa, bagi yang bijak menghukum dengan hukum syariat, sememangnya terlalu banyak dosa yang mengotori  UMNO. Penyucian terbaik adalah dengan taubat. Taubat Nasuha pula hanyalah apabila sudah dapat isyarat dari Malaikat Maut. Pak Lah yang cuba untuk membersihkan UMNO dari dalam seperti yang pernah dicuba oleh Anwar, akhirnya terpaksa akur dengan desakan si pembuat dosa di dalam UMNO itu sendiri. Pak Lah menarik diri dari dicalonkan sebagai Presiden UMNO dan memberikan laluan kepada timbalannya. Alasan terbaik ialah, tidak mahu berlaku perpecahan di dalam UMNO seperti tahu 1988 dan 2008. Apa yang menarik ialah, adakah Pak Lah benar-benar mahu menyerahkan buta-buta jawatan beliau, dengan mempertaruhkan nasib ahli-ahli UMNO yang jujur dan memperjudikan masa depan rakyat Malaysia yang masih kebingungan?

Pada peringkat awal pelan peralihan kuasa, semua setuju dengan apa yang dimesyuaratkan di peringkat MT. Kemudian, ada yang bersuara dari seberang tambak menyatakan pendirian grass-root ‘kununnya’. Jika Pak Lah benar-benar mahu menyerahkan kuasanya, Pak Lah boleh menyerahkannya pada pemilihan yang sepatutnya diadakan Disember ini. Kenapa mesti Pak Lah menangguhkannya ke Mac 2009? Bermakna, Pak Lah masih ada masa lebih kurang 6 bulan.

Apa pula perlunya pertukaran port folio? Kenapa beliau ke Kementerian Pertahanan? Alasannya sebagai satu jaminan bahawa pemegang port folio Kementerian Kewangan adalah bakal pengganti beliau. Sebenarnya saya yakin, Pak Lah mahu melakukan sesuatu. Dan sememangnya Pak Lah masih berpeluang untuk melakukannya. Pembersihan UMNO dari dalam mesti diteruskan seperti yang pernah dilakukan oleh Anwar Ibrahim. Pak Lah melakukan dari dalam UMNO, manakala Anwar kini melakukannya dari luar UMNO. Kita semua percaya kepada ketentuan Allah. Bukan sekadar percaya, malah sangat yakin dengan sebenar-benarnya bahawa “apabila datang kebenaran, maka kebathilan akan sirna”.

Cuba kita berfikir sejenak dengan mengenepikan campur tangan Syaitan dan Nafsu. Adakah Pak Lah kini bergabung dengan Anwar untuk menghadapi Najib dan Mahathir? Saya tinggalkan persoalan ini sehingga ke Mac 2009. Sehingga ke tarikh itu, ikutilah perkembangan kes-kes berprofil tinggi di mahkamah, juga perkembangan kes-kes BPR, kegawatan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan ekonomi dunia. Juga tidak lupa juga perkembangan pilihanraya Presiden AS. Bahkan iklim dunia sedang mengalami perubahan, meliputi keseluruhan aspek termasuk ekonomi, politik, sosial dan iklim bumi itu sendiri. Yang sebenarnya, Yaumul Qiamah betul-betul di depan mata kita. Cuma kita belum mahu mengakuinya. Maka BANGKITLAH, sebelum tibanya Hari Kebangkitan (Yaumul Qiamah @ Hari ke-8). Ehhh… Betul ke Tok Guru? Kalau tak betul, tolong betulkan… 🙂

Saya juga sempat menghasilkan sebuah lagu berserta klip video khas untuk Pak Lah. Lawati http://www.youtube.com/watch?v=XSso_u6EUaw Lagu ini saya hasilkan secara ‘totally one man show’. Saya minta maaf jika ada kekurangannya. Kalau PAS hendak lagu ni buat lagu PAS pun boleh, saya halalkan dari Dunia sampai Akhirat.

NazzCaveMan

Tinggalkan komen