KARPAL SINGH : Pahlawan Melayu Berbangsa Sikh

Setelah sekian lama tidak menulis, rindu pula rasanya mahu menulis. Terlalu banyak isu sebelum ini yang mahu aku kupas, malangnya aku tidak cukup  masa untuk semua ini. Terima kasih di atas sokongan pembaca yang meniupkan semangat untuk aku terus berkata-kata melalui kalam tulisan.

Isu Karpal Singh yang mahu menyaman Ke Bawah Duli Sultan Perak memang panas. Bukan sebarang orang yang Karpal mahu saman iaitu seorang mantan hakim besar di Malaysia yang kini merupakan Sultan Perak. Maka, Karpal adalah seorang yang berani melakukan anjakan paradigma di dalam bidang perundangan Malaysia. Bukan itu sahaja, Karpal juga berani mengambil risiko menaikkan kemarahan orang Melayu dan rakyat Malaysia. Samada Karpal sengaja atau tidak, beliau telah berjaya menaikkan semangat orang Melayu dan rakyat Malaysia untuk mencintai Raja mereka. Raja atau Sultan yang menjadi payung kepada sistem pemerintahan Malaysia. Bukan sahaja orang Melayu yang membuat laporan Polis terhadap Karpal, tetapi diikuti oleh semua bangsa rakyat Malaysia. Inilah keunikan Malaysia yang dikagumi oleh masyarakat antarabangsa.

Inilah kehebatan Karpal. Seorang peguam yang hebat juga ahli politik yang tidak mudah terperangkap di dalam emosi sendiri. Aku sebagai orang Melayu dan rakyat Malaysia, mengucapkan terima kasih kepada Karpal kerana telah berjaya membangkitkan semangat bangsa Melayu dan semangat Malaysia. Sebagai penyokong UMNO, aku juga mengucapkan terima kasih kepada Karpal kerana membantu UMNO menutup beberapa isu dalaman UMNO seperti politik wang, rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa menjelang pemilihan UMNO Mac depan.  Juga babak ini berjaya membuatkan rakyat lupa bahawa harga minyak dunia kini sudah turun kepada USD36 seBarrel. Ini secara tidak langsung, memberi bonus kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Selain dari itu, Karpal juga telah berjaya menggegarkan Pakatan Rakyat (PR) terutamanya  PKR yang menjadi tiang seri PR. Orang Melayu PKR pun seperti juga orang UMNO. Orang Melayu tipikal yang susah mahu dibentuk pada suhu dan tekanan atmosfera normal. Orang Melayu hanya boleh dibentuk dengan mudah apabila suhu ditingkatkan dan tekanan dinaikkan. Karpal mungkin secara tidak sengaja telah tertekan butang yang berjaya menaikkan suhu dan tekanan tersebut. Maka orang Melayu yang lalai dan leka berpolitik mendapat isyarat tersebut. Inilah jadinya…..

Terima kasih Karpal Singh.